SEMENYIH: Selepas menderita menjalani pembedahan sebanyak 15 kali termasuk kaki kanan dipotong dan kedua-dua kornea mata terpaksa dibuang akibat kejadian tercampak dari buaian, kanak-kanak malang, Akmal Haris Shamsul Anuar, 5, akhirnya meninggal dunia di kediamannya, di sini, awal pagi semalam.
Kematian kanak-kanak yang terpaksa menempuh tragedi hitam seawal usia tiga bulan itu disedari ayahnya, Shamsul Anuar Saidin, 39, kira-kira jam 5 pagi ketika bangun bersahur bersama isteri, Rozalina Bukhari, 39, dan tiga anaknya.
Rozalina berkata, beliau yang terjaga seawal jam 4 pagi untuk menyediakan makanan bersahur sempat melihat keadaan anak bongsunya yang berada di sebelahnya, tetapi menyangka Akmal Haris berada dalam keadaan baik.
Ketika berada di dapur, suami yang ketika itu terjaga melihat keadaan Akmal menerpa sebelum memeluk saya mengatakan anak kesayangan kami sudah meninggal dunia.
Saya terkejut tidak percaya sebelum melihat sendiri nadi Akmal untuk mendapatkan kesahihan dan akhirnya akur penderitaan anak saya sudah berakhir, katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Desa Mewah, di sini, semalam.
Jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Masjid Semenyih sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang kira-kira jam 12 tengah hari.
1 comment:
Turut sedih.... Takziah buat family adik kamal...
Post a Comment